Rabu, 19 Jun 2019 | 4:07pm
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap (tengah) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir pada Rumah Terbuka Raya (SPRM) Kedah di Pejabat SPRM Kedah, Bangunan Persekutuan, Anak Bukit. - Foto Sharul Hafiz Zam

SPRM siasat beberapa GLC Kedah

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat beberapa pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini, membabitkan kes salah guna kuasa, menerima rasuah dan membuat tuntutan palsu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata pihaknya akan memberikan keutamaan untuk melaksanakan siasatan berdasarkan maklumat yang baharu diterima.

“Kes-kes berkenaan akan diagihkan dengan segera. (Ia adalah) kes mana yang perlu (segera) diambil tindakan kerana jika lambat, dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.

“Berdasarkan statistik, Kedah berada pada kedudukan lima teratas dalam penyaluran maklumat dan bagi saya pencapaian ini membuktikan kita agak aktif berbanding negeri lain,” katanya pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri SPRM Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejak Januari hingga semalam, sebanyak 271 maklumat diterima.

Katanya, sepanjang tempoh terbabit, sebanyak 80 tangkapan sudah dibuat dan 53 kertas siasatan dibuka untuk siasatan.

“Bagi tempoh sama, sebanyak 11 pertuduhan dibuat membabitkan nilai rasuah melebihi RM1.2 juta di bawah Seksyen 18 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Saya menyeru semua pihak sama ada kakitangan kerajaan, swasta dan orang awam supaya kongsi maklumat menerusi pelbagai platform yang disediakan bagi membantu membanteras rasuah.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan kita turut memberi perlindungan keselamatan supaya mereka tidak diganggu oleh mana-mana pihak yang terbabit dengan rasuah,” katanya.

Berita Harian X