Jumaat, 21 Jun 2019 | 10:40pm

Suspek gaduh insiden potong barisan ditahan polis

KAJANG: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki lain cedera di Jalan Dataran Cheras 2, Balakong, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten KomisionerAhmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Taman Putri Jaya, Batu 9, Cheras, kira-kira jam 4.20 petang.

“Pada jam 12.20 tengah hari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima dua rakaman video tular menerusi Whatsapp memaparkan pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki berlumuran darah dipukul suspek yang ketika itu belum dapat dipastikan.

“Laporan polis pertama dibuat oleh anggota Balai Polis Tun Hussein Onn berdasarkan insiden dan video terbabit, namun mangsa dalam rakaman berkenaan belum membuat laporan. Polis menjalankan siasatan berdasarkan maklumat pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan perasaan tidak puas hati berkaitan insiden memotong barisan ketika keluar simpang.

“Suspek mengaku terbabit dalam insiden pergaduhan itu. Pemeriksaan Hospital Kajang terhadap mangsa mendapati dia cedera pada bahagian muka dan badan, patah pergelangan tangan kanan serta retak tulang muka dan hidung.

“Permonan reman ke atas suspek akan dibuat esok. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/160 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan gaduh gempar,” katanya.

Dua rakaman video, masing-masing berdurasi 20 dan 47 saat memaparkan insiden pergaduan dua lelaki di depan deretan kedai di Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Traders, tular di laman sosial sejak pagi tadi.

Seorang daripada lelaki berkenaan dianggarkan berusia awal 40-an berada dalam sebuah kereta Perodua Axia, dilihat ditendang beberapa kali oleh seorang lagi lelaki.

Pergaduhan menjadi lebih serius selepas mangsa keluar dari kereta dan cuba membalas serangan lelaki berkenaan, namun dipukul lebih teruk sehingga berdarah sebelum dibiarkan terbaring berlumuran darah di atas jalan.

Berita Harian X