Ahad, 23 Jun 2019 | 4:49pm

Wanita, anak parah ditetak teman lelaki

GEORGETOWN: Seorang wanita dan anaknya cedera parah akibat ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Bandar Baru, Air Itam di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu dikatakan berlaku apabila suspek berusia 61 tahun bergaduh dengan mangsa yang juga teman wanitanya, dipercayai kerana cemburu.

Akibatnya, suspek bertindak di luar jangka apabila mengambil pisau dan menetak leher teman wanitanya yang berusia 55 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata anak lelaki mangsa berusia 21 tahun yang menyaksikan kejadian itu cuba mempertahankan ibunya, namun dia turut cedera di leher akibat dikelar suspek.

“Adik kepada wanita berkenaan kemudian memaklumkan kepada polis berhubung insiden yang berlaku dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

“Soal siasat awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku kerana suspek cemburu dengan mangsa yang dikatakan mempunyai teman lelaki lain, sebelum berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Che Zaimani berkata adik mangsa memaklumkan bahawa suspek dan mangsa tinggal serumah selepas mereka menjalinkan hubungan cinta.

“Sebelum kejadian, suspek dikatakan menunggu mangsa pulang ke rumah dan berlaku pergaduhan antara mereka selepas itu. Suspek turut mengalami kecederaan di kepala, badan dan perut ketika bergelut dengan mangsa,” katanya.

Katanya, polis masih belum dapat menemubual mangsa berikutan kedua-dua mereka masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Berita Harian X