Isnin, 24 Jun 2019 | 10:43am
APMM Perak menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama tujuh awak-awak yang menceroboh perairan negara di kedudukan 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak. - NSTP/Ihsan APMM

Lagi bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh Perairan Malaysia

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama seorang tekong dan enam awak-awak yang menceroboh perairan negara di kedudukan 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak, di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.40 pagi itu, bot berkenaan dipercayai sudah tiga hari berada di laut dan turut dirampas pelbagai jenis ikan seberat 100 kilogram.

Pengarah APMM Perak, Kapten Wan Mat Wan Abdullah, berkata bot nelayan asing itu dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan operasi rondaan dan penguatkuasaan rutin.

“Bot tanpa pendaftaran berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan di kawasa perairan Pulau Jarak dan semua nelayan asing berkenaan berusia antara 20 hingga 46 tahun.

“Pemeriksaan kemudian mendapati tekong bot berkenaan gagal menunjukkan dokumen berkaitan bot dan semua enam awak-awak tiada pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, bot bersama kesemua nelayan berkenaan kemudian diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia.

“APMM akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan,” katanya.

Berita Harian X