Selasa, 25 Jun 2019 | 12:59pm

Pendakwa Raya dibenar warta notis pihak ketiga tuntut wang 1MDB

KUALA LUMPUR: Pendakwa Raya diberi masa dua bulan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap wang yang dirampas kerajaan membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Harta itu membabitkan wang lebih RM216 juta yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu berhubung kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Tujuh responden yang dinamakan dalam prosiding melucut hak harta difailkan Pendakwa Raya itu ialah parti politik UMNO; Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail; Wanita MCA, syarikat pengurusan acara Binsabi Sdn Bhd; syarikat pelaburan Perano Sdn Bhd; Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah; dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Pendakwa Raya untuk mewartakan notis itu mengikut Seksyen 56 (1) dan 61(2) AMLATFPUAA.

Mohamed Zaini sehubungan itu memberikan masa dua bulan iaitu sebelum 25 Ogos ini untuk Pendakwa Raya mewartakannya.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 29 Julai ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar berkata pihaknya memerlukan dua minggu untuk memfailkan permohonan menukar nama arwah Abdul Manan kepada pemegang amanah.

SPRM baru-baru ini memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Berita Harian X