Khamis, 27 Jun 2019 | 5:36pm

Buku panduan peringkat sekolah perlu ditambah baik - NUTP

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan diminta merujuk dan menambah baik buku panduan peringkat sekolah sebagai langkah menjamin keadilan bagi pihak guru serta murid.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata pihak kementerian perlu meneliti dan melakukan pembaharuan terhadap buku panduan berkaitan supaya kandungannya seiring dengan perkembangan semasa.

“Ini termasuk buku Panduan Am Disiplin Sekolah-Sekolah tahun 1981 serta Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru tahun 1988.

“NUTP juga memohon Kementerian Pendidikan menyediakan latihan kepada guru dalam hal berkaitan pengurusan disiplin terutama yang membabitkan kes jenayah dan menyenaraikan bentuk hukuman atau tindakan boleh diambil oleh guru.

“Penyampaian maklumat ini amat perlu buat guru, ibu bapa dan murid supaya tidak wujud salah faham apabila timbul isu guru merotan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harry Tan berkata, dalam mewujudkan kemenjadian murid, Kementerian Pendidikan juga perlu melihat, melindungi dan membela guru dari segi undang-undang serta memberi latihan khususnya untuk menangani isu disiplin.

Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengesahkan video viral menunjukkan seorang wanita berang selepas anaknya didakwa dirotan pada lengan dan paha selepas memanggil guru lelakinya pondan, berlaku di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.

Paparan video selama dua minit dan 28 saat itu menunjukkan seorang wanita mempersoalkan tindakan guru lelaki yang didakwa merotan anak perempuannya, yang juga pelajar sekolah menengah.

Berikutan itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru diarah menjalankan siasatan berhubung video berkenaan.

Berita Harian X