Khamis, 27 Jun 2019 | 6:53pm

Suami ugut sembelih isteri kerana lupa gosok baju

KUALA TERENGGANU: Leka bermain telefon bimbit sampai terlupa menggosok baju kerja suaminya menyebabkan wanita itu diugut mahu disembelih dalam kejadian di Kuala Nerus, semalam.

Bukan itu saja, suspek turut menghambat anaknya dengan parang apabila cuba meleraikan perkelahian yang tercetus lagi selepas lelaki itu pulang dari kerja.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek berusia 44 tahun itu sedang bersiap untuk ke tempat kerja apabila mendapati bajunya masih belum bergosok.

Ini menyebabkan suspek yang sudah terlewat, mengamuk dan memarahi isterinya yang berusia 38 tahun sebelum bertindak mengambil telefon bimbit wanita itu.

Wanita itu memujuk suaminya memulangkan semula telefon bimbitnya, namun suspek memaki hamun, mencekik dan menampar mangsa.

“Kekecohan yang berlaku disedari anak sulung pasangan berkenaan yang kemudiannya membantu meleraikan pergaduhan itu.

“Kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila dia pulang dalam keadaan marah kira-kira jam 9 malam itu.

“Suspek dikatakan menuduh mangsa menceritakan kejadian pagi itu dan masalah rumah tangga mereka kepada orang lain,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil sebilah parang lalu mengacukannya ke leher isterinya sambil mengugut akan menyembelih mangsa suatu hari nanti.

Pada masa itu, anak sulung mereka yang melihat kejadian itu bertindak memarahi suspek menyebabkan dia semakin berang lalu mengejar anaknya yang sempat lari menyelamatkan diri.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din, ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Berita Harian X