Khamis, 27 Jun 2019 | 6:55pm
SETIAUSAHA Ketiga Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Papua New Guinea, Mohd Rezza Mohd Yusof (tiga dari kiri) mengiringi enam rakyat Sarawak yang terkandas di Kepulauan Solomon untuk dibawa pulang ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Honiara di Kepulauan Solomon. - Foto ihsan Sumber
ENAM rakyat Sarawak yang terkandas di Kepulauan Solomon dibawa pulang ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Honiara di Kepulauan Solomon. - Foto ihsan Sumber

Lagi rakyat Sarawak dibawa pulang

KUCHING: Menyusuli kejayaan membawa pulang 40 anak Sarawak kembali ke tanah air selepas ditipu di Kemboja empat bulan lalu, kini enam lagi rakyat negeri ini yang terkandas di Kepulauan Solomon, dibawa pulang.

Keenam-enam mereka yang berasal dari Kapit dan Baram, kini dilaporkan berada di Singapura selepas berdepan masalah kerja dalam sektor pembalakan di negara kepulauan pasifik itu.

Edau Mengit, 45; Melingang Laja, 43;Ricky Alex, 26; Ugot Masam, 31, berasal dari Kapit, manakala dua mangsa lagi, Denis Anyie Ngau, 46, dan Anyie Ngau, 43, dari Baram.

Operasi menyelamatkan kesemua mangsa itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, dan difahamkan semua mangsa dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 2 petang esok.

“Kejayaan membawa mereka pulang adalah hasil usaha Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Baleh, Tan Sri James Jemut Masing dengan kerjasama Wisma Putra.

“Semua mangsa terbabit terkandas di Kepulauan Solomon selepas menghadapi masalah dengan majikan yang membawa mereka bekerja dalam industri balak di sana.

“Mereka kemudian datang ke Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon pada 13 Mei lalu untuk mengadu mengenai keadaan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak mengetahui masalah menimpa kesemua mangsa itu, Dennis berusaha mengumpulkan bantuan bagi membeli tiket penerbangan yang difahamkan berharga RM3,800 seorang.

Pada Februari lalu, Wisma Putra dengan kerjasama kerajaan negeri membawa pulang 40 rakyat Sarawak yang ditahan di Penjara Wilayah Beantey Meachey, di Kemboja, selepas mereka menjadi mangsa sindiket perjudian dalam talian.

Usaha membawa pulang rakyat Sarawak itu turut dibantu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhamad Shahrul Ikram Yaacob dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Mohamad Nasri Abdul Rahman.

Turut membantu, ialah Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon, Hii Yii Ging; Setiausaha Ketiga Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Papua New Guinea, Mohd Rezza Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Uggah.

Berita Harian X