Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:30am
Ayam yang dicuri suspek ditemui di dalam bonet belakang kenderaan pacuan empat roda di sebuah kedai memproses ayam di Guar Chempedak. - Foto ihsan Pembaca
Ayam yang dicuri suspek ditemui di dalam bonet belakang kenderaan pacuan empat roda di sebuah kedai memproses ayam di Guar Chempedak. - Foto ihsan Pembaca

Dua lelaki ditahan curi 400 ekor ayam mentah

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki selepas dikesan menjual semula 400 ekor ayam mentah yang disyaki dicuri di pasar Taman Kempas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 21 dan 26 tahun ditahan ketika sedang menyusun ayam yang disyaki dicuri di sebuah kedai memproses ayam di Guar Chempedak untuk dijual.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah, berkata terdahulu dua suspek bersama seorang lagi yang masih bebas dipercayai memecah masuk sebuah kedai memproses ayam di Taman Kempas pada jam 2.58 pagi.

Katanya, pemilik kedai berkenaan menyedari ayamnya dicuri kira-kira jam 4 pagi ketika datang untuk membuka perniagaannya, sebelum mendapati premisnya berada dalam keadaan gelap.

“Mangsa kemudian menemui fius elektrik yang dicabut dan mengesyaki kedainya dipecah masuk sebelum menyedari kira-kira 400 ekor ayam mentah di kedai itu hilang.

Salah satu aksi kes curi ayam mentah di pasar Taman Kempas di sini semalam yang berjaya dirakam. - Foto ihsan Pembaca
Salah satu aksi kes curi ayam mentah di pasar Taman Kempas di sini semalam yang berjaya dirakam. - Foto ihsan Pembaca

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhenti di hadapan kedai sebelum tiga lelaki bertopeng mengambil ayam berkenaan dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video terbabit juga tular di media sosial sejak semalam, memaparkan tiga lelaki memakai penutup muka sedang mengalihkan ayam mentah dari tong ais ke dalam kenderaan 4WD.

Adzli berkata, ketika tangkapan dilakukan polis mendapati kenderaan yang disyaki digunakan ketika mencuri ayam mentah itu berada bersebelahan kedai memproses ayam terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 30 ekor ayam mentah berada di atas meja kedai, manakala 15 ekor lagi berada di bonet kenderaan 4WD.

“Selain itu, terdapat 355 ekor ayam di dalam dua tong ais berwarna kuning di dalam kedai sama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bahawa kesemua ayam berkenaan dicuri di sebuah pasar di Taman Kempas bersama seorang lagi rakan yang sedang diburu polis.

Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan menceroboh dengan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X