Isnin, 1 Julai 2019 | 4:28pm
PEKERJA kilang dihadapkan atas lima pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas ketika sekatan jalan raya pada 24 Jun lalu. NSTP/Siraj Mohd Zaini
PEKERJA kilang dihadapkan atas lima pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas ketika sekatan jalan raya pada 24 Jun lalu. NSTP/Siraj Mohd Zaini

Pekerja kilang didakwa langgar polis

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, terhadap lima pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas ketika sekatan jalan raya pada 24 Jun lalu.

Tertuduh, Zulhilmi Mohd Ariffin, 22, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Koperal Hasnol Abd Ghani dan Koperal Ahmad Haizaki Salimon dengan memandu kereta Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh pihak polis.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dia didakwa dengan sengaja menghalang seorang inspektor polis dalam menjalankan tugasnya melakukan pemeriksaan terhadapnya dengan melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Jika sabit kesalahan Zulhilmi boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dilakukan di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15, kira-kira jam 10.30 pagi, 24 Jun lalu.

Tertuduh juga didakwa mengikut Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

Kesalahan itu dilakukan di Bulatan Andalas, Seksyen 17, pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan THC ke dalam tubuh badannya.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 5.15 petang pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azamuddin Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zufa Elias.

Terdahulu, Khairul Azamuddin memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM29,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis sehingga prosiding kes selesai.

Bagaimanapun, Muhammad Zufa memohon tertuduh diberikan ikat jamin minimum kerana dia bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 selain perlu menanggung ibu bapa serta adik beradiknya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dan kes disebut semula pada 31 Julai ini selain perlu melaporkan diri ke balai polis setiap dua minggu.

Berita Harian X