Isnin, 1 Julai 2019 | 11:59pm
Pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Air Putih, Kuantan, ditemui tidak sedarkan diri, dipercayai akibat mabuk selepas mengambil minuman keras murah bersama rakannya. - Ihsan pembaca

Pelajar tak sedarkan diri akibat mabuk

KUANTAN: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Air Putih, dekat sini, ditemui tidak sedarkan diri, dipercayai akibat mabuk selepas mengambil minuman keras bersama rakannya, tengah hari tadi.

Kejadian itu disedari orang ramai kira-kira jam 1 tengah hari apabila melihat pelajar berkenaan yang lengkap berpakaian seragam sekolah terbaring di atas sebuah kerusi.

Sumber berkata, pelajar itu sepatutnya mengikuti sesi pembelajaran pada sesi petang, namun bertindak menyertai dua rakannya minum minuman keras murah berhampiran sekolahnya.

“Akibat terlalu mabuk, pelajar terbabit tidak sedarkan diri dan orang ramai yang menyedari kejadian itu segera memaklumkan pihak sekolah.

“Pasukan perubatan dikejarkan ke sekolah berkenaan dan pemeriksaan awal mendapati pelajar itu mengambil minuman keras secara berlebihan,” katanya.

Pelajar terbabit kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya akan memanggil pelajar berkenaan untuk sesi kaunseling.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar terbabit bagi mengetahui masalah yang mungkin dihadapi pelajar itu,” katanya.

Beberapa gambar pelajar itu mula tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook petang tadi dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai dan pelayar internet.

Berita Harian X