Rabu, 3 Julai 2019 | 6:54pm
Ketua Pegawai Operasi THSB, Datuk Mohd Hasbi Jaafar (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung permohonan menaikkan ratio plot berkaitan sebuah pembangunan di Jalan Semarak. - Foto Supian Ahmad
Ketua Pegawai Operasi THSB, Datuk Mohd Hasbi Jaafar (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung permohonan menaikkan ratio plot berkaitan sebuah pembangunan di Jalan Semarak. - Foto Supian Ahmad

Cek RM2 juta untuk sumbangan politik - saksi

KUALA LUMPUR: Cek bernilai RM2 juta yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) milik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk digunakan sebagai sumbangan politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ketua Pegawai Operasi THSB, Datuk Mohd Hasbi Jaafar, 55, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, perkara itu diberitahu sendiri oleh Tengku Adnan kepadanya melalui panggilan telefon pada 14 Jun 2016.

Mohd Hasbi yang menjawab soalan balas peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, berkata beliau menghubungi Tengku Adnan selepas menerima salinan slip deposit cek terbabit melalui aplikasi ‘Whatsapp’ daripada Tengku Adnan sendiri.

Hock Chuan: Apa yang kamu bualkan?

Hasbi: Saya beritahu bahawa sudah menerima salinan slip dari aplikasi Whatsapp. Saya juga maklumkan cek sudah ‘clear’ (jelaskan).

Hock Chuan: Kamu tahu Tengku Adnan memegang banyak jawatan penting dalam UMNO antaranya Setiausaha Agung dan Ketua (Bahagian) UMNO Putrajaya?

Hasbi: Tahu

Hock Chuan: Kamu setuju sekiranya saya katakan bahawa ‘cash advance’ (pendahuluan) digunakan untuk membayar kakitangan UMNO dan untuk kegunaan PRK?

Hasbi: Ya setuju

Hock Chuan: Ada atau tidak Tengku Adnan beritahu bahawa wang ‘political donation’ (sumbangan politik) untuk dua pilihan raya kecil?

Hasbi: Ya benar.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid meminta penjelasan lanjut pada sesi pemeriksaan semula berhubung sumbangan politik itu, saksi itu berkata;

“Saya fahami bahawa kemasukan wang itu sebagai ‘political donation’ tetapi ia diandaikan sebagai amaun yang di ‘advance’ (didahulukan) oleh syarikat bagi memastikan ia (wang) sudah masuk ke dalam akaun syarikat.”

Terdahulu dalam pernyataan saksi, Hasbi berkata, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu adalah pemegang saham terbesar THSB iaitu sebanyak 99,999,996.00 unit manakala Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor memiliki sebanyak 4.00 (empat) unit saja.

“Posisi Tengku Adnan dalam syarikat itu adalah sebagai pembuat keputusan dalam urusan kewangan yang membabitkan jumlah besar seperti pelaburan dan pembelian aset dalam dan luar negeri.

“Datuk Seri Tengku Adnan mempunyai hak dalam syarikat THSB dari segi pengoperasian dan pengawal kewangan syarikat,” katanya.

Mohd Hasbi menjelaskan, beliau tidak pernah menerima secara fizikal cek Hong Leong Islamic Bank daripada syarikat pemaju, Aset Kayamas Sdn Bhd dan hanya mengetahui bahawa cek itu sudah dimasukkan ke dalam bank selepas menerima salinan slip deposit cek.

Saksi keenam pendakwaan bagaimanapun mengesahkan bahawa THSB tidak pernah berurusan dengan Aset Kayamas.

Sementara itu, Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan Tadmansori Holding Sdn Bhd, Rabiatul Adawiyah Sobri, mengesahkan terdapat kemasukan wang berjumlah RM2 juta ke akaun THSB.

Rabiatul Adawiyah bagaimanapun berkata, beliau tidak menerima arahan daripada Mohd Hasbi untuk mengeluarkan wang atau membuat pembayaran daripada akaun THSB kepada akaun UMNO.

“Saya mengesahkan sepanjang berkhidmat di THSB, tidak pernah ada transaksi pengeluaran wang atau bayaran daripada akaun THSB kepada akaun UMNO.

“Sebarang transaksi pengeluaran wang yang hendak dilakukan dari syarikat THSB ke akaun lain, hendaklah mendapat arahan daripada Mohd Hasbi,” katanya ketika membaca penyata saksi.

Rabiatul Adawiyah, 32, juga bersetuju dengan Hock Chuan bahawa kemasukan cek RM2 juta itu tidak mempunyai kaitan dengan pihak ketiga.

Beliau berkata, tiada sebarang catatan dalam jurnal baucer dan lejar menyatakan bahawa RM2 juta itu dibayar oleh Aset Kayamas kepada THSB.

Berita Harian X