Khamis, 4 Julai 2019 | 8:08pm
Ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamad, 44, menunjukkan gambar arwah anaknya, Wan Mohammed Adam Mohd Suria,12, yang maut terjatuh dari bas ketika ditemui perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. - Foto Nor Amalina Alias

'Adam berhajat ke sekolah asrama penuh'

PASIR PUTEH: Murid Tahun Enam yang maut selepas terjatuh dari bas sedang bergerak di Kampung Kandis, di sini, pagi tadi bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di sekolah asrama penuh tahun depan.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamad, 44, berkata anaknya yang mesra dipanggil Adam bersemangat untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September ini bagi membolehkannya menyambung persekolahan di sekolah asrama penuh tahun depan.

Katanya, anak bongsu daripada empat adik beradik itu yang juga pengawas sekolah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.

“Cuma pagi tadi, ketika bersiap nak ke sekolah, dia sempat bertanya sama ada dia perlu sertai bengkel (bengkel bahasa Inggeris) atau sebaliknya dan tak sangka itu petanda akan kehilangan anak selamanya.

“Saya hilang satu-satunya anak lelaki, malah anak bongsu yang menjadi kesayangan keluarga hilang dalam sekelip mata,” katanya.


Bahagian lantai bas sekolah yang berlubang menyebabkan murid, Wan Mohammed Adam Mohd Suria,12 maut terjatuh dan digilis bas di Kampung Kandis, Pasir Puteh. - Foto Nor Amalina Alias

Nik Hasmani berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dihubungi penganjur yang memaklumkan bas yang dinaiki anaknya bersama 30 lagi murid terbabit dalam kemalangan.

Katanya, dia dan keluarga diminta segera ke hospital namun tidak dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia sehingga tiba di bilik mayat Hospital Tengku Anis, di sini.

“Sebaik tiba di hospital saya bertanyakan guru dan penganjur apa yang terjadi, namun mereka hanya mengangguk dengan wajah sedih.

“Suami masuk ke bilik mayat dan memberitahu anak cedera parah dengan sebahagian kaki hampir putus, patah di beberapa bahagian badan akibat digilis tayar bas,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat hospital itu, tadi.

Murid tahun enam itu bersama rombongan Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti bengkel bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Empower selama dua hari.

Mayat mangsa yang sudah dibedah siasat dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Bakti, Bukit Belah, Machang dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Belah, Machang, malam ini.

Berita Harian X