Sabtu, 6 Julai 2019 | 12:04pm
INSIDEN 3 penyelam maut di Pulau Kulapuan, Semporna, semalam.

Bom ikan dipercayai punca 3 penyelam maut

KOTA KINABALU: Polis mengesyaki kematian tiga termasuk dua pelancong China di Pulau Kulapuan, Semporna, semalam, akibat terkena bom ikan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pihaknya masih menyiasat kes itu termasuk menahan dua individu bagi membantu siasatan.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kerana membunuh) dan kita menahan pemandu bot dan pembantunya untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, kita percaya mereka yang maut adalah disebabkan bom ikan, namun hasil keterangan daripada beberapa individu termasuk beberapa pelancong China yang berada di kawasan berhampiran, mereka tidak mendengar bunyi letupan bom,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Omar berkata, kejadian itu berlaku antara jam 2.30 hingga 3.30 petang dan mereka dikatakan terlihat sebuah bot memancing di kawasan berkenaan.

“Terdapat tiga bot pelancong di kawasan itu juga dan dalam bot (dinaiki mangsa) itu, ada dua pelancong, pengajar selam skuba, seorang pemandu bot dan pembantunya.

“Yang lain-lain itu ada di dalam dua bot tetapi tidak pasti berapa ramai dan mereka belum lagi menyelam.

“Pengajar selam skuba mengarahkan pemandu bot kembali ke jeti untuk mengambil tangki gas kerana bimbang kemungkinan mereka akan kehabisan gas oksigen yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kemudian meninggalkan tiga penyelam namun ketika kembali semula ke lokasi berkenaan kira-kira sejam kemudian, dia melihat banyak buih di permukaan sebelum ternampak semua mangsa di dalam air dan tidak bergerak.

“Pemandu bot mendapati banyak ikan mati, jadi dipercayai mereka terkena bom ikan. Pemandu bot kemudian memanggil penyelam lain untuk membantu mengambil semua mangsa.

“Kedalaman air tempat kejadian adalah 5.8 meter,” katanya.

Dalam kejadian itu, Zainal Abdul, 31, bersama dua lagi pelancong dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam.

Berita Harian X