Sabtu, 6 Julai 2019 | 1:13pm
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah lori tangki. - Foto BERNAMA

2 lelaki maut kereta terperosok bawah lori tangki

KUANTAN: Dua lelaki maut dipercayai akibat tersepit selepas kereta dinaiki mereka terperosok ke bawah lori tangki di Kilometer 127 Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah, Rompin dekat sini, pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian pada 6.30 pagi tadi.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Naza Kia dan sebuah lori tangki minyak sawit.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah terpaksa meminta bantuan dua jentera penggali dan dua kren untuk mengangkat kereta dari bawah lori tangki,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat dua mangsa itu yang masih belum disahkan identiti diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Muadazam Shah. - BERNAMA

Berita Harian X