Ahad, 7 Julai 2019 | 4:52pm
Zon merah akibat wabak demam campak di perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, ditarik balik esok. - NSTP/Ramli Ibrahim
Zon merah akibat wabak demam campak di perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, ditarik balik esok. - NSTP/Ramli Ibrahim

Zon merah di Kampung Kuala Koh ditarik balik esok

GUA MUSANG: Selepas hampir sebulan diisytihar sebagai zon merah akibat wabak demam campak, perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, di sini akan mula dibuka esok.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang di Pejabat Tanah dan Jajahan di sini, pagi ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan daerah bahawa Kampung Kuala Koh diisytiharkan selamat daripada jangkitan penyakit berkenaan.

“Alhamdulillah, mulai pagi esok zon merah itu ditarik balik bagi memberi kemudahan kepada semua untuk membantu masyarakat terbabit.

“Pasukan Gerak Am (PGA) yang ditugaskan mengawal laluan di Aring 10 ke Kampung Kuala Koh dihentikan mulai jam 8 pagi esok.

“Kita sudah maklumkan perkara itu kepada semua agensi terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sebelum ini penduduk Orang Asli dan orang awam dihadkan pergerakan mereka bagi mengelakkan penyakit berjangkit itu menular secara meluas.

“Saya difahamkan banyak badan sukarela akan masuk ke kampung berkenaan mulai esok untuk program gotong-royong bersihkan rumah dan kampung Orang Asli,” katanya.

Akhbar pada 12 Jun lalu melaporkan polis mengisytiharkan perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh sebagai zon merah susulan kematian penduduk di kampung itu akibat penyakit demam campak.

Berita Harian X