Ahad, 7 Julai 2019 | 6:42pm
PDRM masih lagi dalam proses rundingan untuk membawa Jho Low pulang ke negara ini. - Foto fail

PDRM masih runding bawa pulang Jho Low

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi dalam proses rundingan untuk membawa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low pulang ke negara ini bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata rundingan dengan pihak berkuasa negara Jho Low bersembunyi itu perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan ia tidak tersilap langkah.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan tempoh tertentu untuk rundingan itu berjaya, namun memberi jaminan Jho Low pasti akan dibawa pulang.

“Kita tidak mahu pihak berkuasa di negara di mana Jho Low sedang bersembunyi berasa seolah-olah kita mahu menekan mereka. Rundingan masih berjalan.

“Saya harap mereka faham keperluan membawa pulang individu terbabit bagi menghadapi proses undang-undang di negara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Pada 22 Mei lalu, Abdul Hamid dilaporkan berkata PDRM mempunyai petunjuk baharu berhubung lokasi Jho Low dan akan cuba membawanya pulang.

Beliau berkata polis juga sudah lama mengetahui lokasi Jho Low yang dikatakan bersembunyi di China.

Akhbar sebelum ini melaporkan, PDRM sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung skandal 1MDB.

Mereka ialah tiga rakyat Malaysia, iaitu Tan Sri Low Hock Peng, 67; Puan Sri Goh Gaik Ewe, 67; dan Tan Kim Loong, 41; serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.

Mengikut rekod, Hock Peng dan Gaik Ewe, masing-masing adalah bapa serta ibu kepada Jho Low, yang juga dalam buruan polis.

Berita Harian X