Isnin, 8 Julai 2019 | 9:11am
Seorang pemandu kereta yang cedera dan tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota bomba selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Felda Teloi Timur, Sik. - Foto ihsan Bomba

3 cedera kereta bertembung lori

SIK: Tiga cedera termasuk seorang parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Felda Teloi Timur, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi, lelaki yang juga pemandu kereta PROTON Wira berusia 30-an parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.17 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang tiba di lokasi pada jam 6.35 pagi, mendapati pemandu kereta masih berada dalam kenderaan itu dan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan kepala.


Seorang pemandu kereta yang cedera dan tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota bomba selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Felda Teloi Timur, Sik. - Foto ihsan Bomba

“Dua lagi penumpang kereta itu masing-masing lelaki dan wanita yang belum diketahui identitinya hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu lori itu tidak cedera,” katanya di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa kemudian dikeluarkan selepas anggota bomba menggunakan peralatan khas dan memberi rawatan awal kepadanya.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan dan operasi tamat pada jam 7.13 pagi.

Berita Harian X