Isnin, 8 Julai 2019 | 11:28am

Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka meningkat

MELAKA: Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka pada hari kedua terus meningkat kepada 1,391 orang membabitkan 318 keluarga setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 1,149 mangsa daripada 260 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali, berkata lima pusat pemindahan sementara (PPS) mencatat penambahan jumlah mangsa dan satu PPS baru dibuka.

Beliau berkata, hanya tiga PPS mengalami penurunan bilangan mangsa manakala dua lagi PPS tidak berubah.

Katanya, lima PPS yang dilaporkan mengalami peningkatan jumlah mangsa adalah Belimbing Dalam yang kini menempatkan 343 mangsa daripada 87 keluarga, Sekolah Kebangsaan Krubong (246 mangsa/58 keluarga), Balai Raya Bukit Baru (41 mangsa /lapan keluarga), Bukit Masjid Al-Rasyidin (133 mangsa/27 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan (139 mangsa/36 keluarga).

“Sebuah PPS baru dibuka adalah PPS Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka yang menempatkan 250 mangsa membabitkan 63 keluarga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Krubong. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Krubong. - NSTP/Rasul Azli Samad

Mangsa banjir mendaftar di kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas Pusat Pemindahan Sementara baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka, Batu Berendam. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mangsa banjir mendaftar di kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas Pusat Pemindahan Sementara baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka, Batu Berendam. - NSTP/Rasul Azli Samad

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di PPS Balai Raya Panchor dan Balai Raya Sungai Tuang, tidak berubah.

“Seramai 97 mangsa terdiri daripada pelajar dan kakitangan pusat tahfiz masih berteduh di PPS Balai Raya Panchor dan sembilan mangsa daripada dua keluarga di PPS Balai Raya Sungai Tuang,” katanya.

Beliau berkata, tiga PPS mengalami penurunan bilangan mangsa adalah Balai Raya Gadek (50 mangsa/15 keluarga), Kampung Beringin (76 mangsa/18 keluarga) dan Balai Raya Bukit Tambun (tujuh mangsa/dua keluarga). - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X