Isnin, 8 Julai 2019 | 5:27pm

ADUN BN, kerani seleweng dana NBOS ditahan SPRM

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan dua individu termasuk seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), tiga tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga seorang Ketua UMNO Bahagian dan seorang kerani wanita masing-masing berusia 57 dan 34 tahun itu ditahan selepas dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM di Alai, di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya, berkata pemimpin lelaki terbabit adalah bekas EXCO kerajaan negeri Melaka memegang portfolio Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), manakala wanita terbabit adalah kerani di JAPERUN berkenaan.

“Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu kes berkaitan penyelewengan peruntukan bagi Inisiatif ‘Strategic Linkage’ di bawah Program NBOS tahun 2016 untuk negeri Melaka yang disalurkan kepada JAPERUN.

“Kedua-dua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk pertuduhan esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu mengemukakan tuntutan palsu.

Berita Harian X