Selasa, 9 Julai 2019 | 2:13pm

Bekas banduan dalang kegiatan proses, edar dadah

GEORGETOWN: Hukuman penjara 10 tahun bukan penghalang kepada seorang bekas banduan merekrut pekerja baharu untuk kegiatan memproses dan mengedar dadah.

Demikian tindakan seorang lelaki berusia 50-an apabila dia sekali lagi ditahan kerana terbabit dalam sindiket yang menjadikan sebuah pangsapuri sebagai makmal memproses dadah sejak empat bulan lalu.

Perbuatan suspek bersama tujuh ahli sindiket pengedaran dadah dibongkar sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang melakukan tiga serbuan berasingan di Jelutong, pada Khamis dan Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan, berkata polis menahan dua lelaki berusia 53 dan 77 tahun dan merampas heroin seberat 7.98 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM105,200 di rumahnya dalam serbuan pertama pada jam 10 malam, Khamis lalu.

Katanya, polis turut merampas kafein seberat 21.2kg dianggarkan bernilai RM10,200 dan susulan daripada itu satu lagi serbuan dilakukan di sebuah kedai kopi di Jelutong.

“Dalam serbuan kedua, kita menahan lima lelaki berusia 36 hingga 51 tahun serta merampas syabu seberat 70.84 gram (g) dan heroin (50g), masing-masing dianggarkan bernilai RM10,200 dan RM600.

“Polis turut melakukan serbuan ketiga di sebuah pangsapuri dan berjaya membongkar makmal memproses heroin, selain menahan seorang wanita berusia 35 tahun dan merampas pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Saravanan berkata, pihaknya turut merampas wang tunai serta pelbagai barang berharga yang dipercayai hasil jualan dadah terbabit.

“Antara barang yang disita adalah wang tunai bernilai RM2,571, sebentuk cincin emas bernilai RM3,000, Nissan X-Trail (RM18,800), Proton X70 (RM95,500) dan skuter Honda PCX (RM8, 990).

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Bekas banduan terbabit sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan sama pada 2007, sebelum dia dipenjara selama 10 tahun dan dibebaskan, baru-baru ini.

Selepas dibebaskan, suspek mencari pekerja baharu yang terdiri daripada nelayan, tukang kayu, penarik kereta dan penganggur untuk menghasilkan dan mengedar dadah.

Saravanan (dua dari kanan) menunjukkan dadah serta alat memproses dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Saravanan (dua dari kanan) menunjukkan dadah serta alat memproses dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X