Selasa, 9 Julai 2019 | 4:47pm
Lokasi Agnes Tayok (gambar kecil) yang maut selepas ditimpa pokok sagu ditebang suaminya di Kampung Kekan, Dalat. - Ihsan pembaca

Wanita maut ditimpa pokok sagu ditebang suami

DALAT: Seorang wanita maut selepas ditimpa pokok sagu yang ditebang suaminya dalam kejadian di Kampung Kekan, di sini, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu mengakibatkan Agnes Tayok, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Roslan Leman, berkata mangsa bersama suaminya, Unau Using, 56, sebelum itu pergi ke kebun untuk menebang pokok sagu yang terdapat di tepi sungai kampung mereka.

“Ketika suaminya sedang memotong pokok itu, mangsa menariknya menggunakan tali untuk mengelak pokok terbabit tumbang ke arah rumah sarang burung yang ada berdekatan.

“Bagaimanapun, pokok terbabit tumbang ke arah mangsa dan dia tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Roslan berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Dalat oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kes masih dalam siasatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Berita Harian X