Selasa, 9 Julai 2019 | 5:29pm
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) hadir pada perbicaraan kes melibatkan rasuah 2 juta di Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) hadir pada perbicaraan kes melibatkan rasuah 2 juta di Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi

Tengku Adnan kerap dahulukan perbelanjaan UMNO - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sering mendahulukan wang miliknya sehingga RM300,000 untuk kegunaan UMNO termasuk perbelanjaan sepanjang pilihan raya.

Perkara itu dimaklumkan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tengku Adnan, Datuk Mohd Rahimi Rejab, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mohd Rahimi, 47, berkata Tengku Adnan mengeluarkan perbelanjaan antara RM100,000 hingga RM300,000 setiap bulan.

“Ia adalah jumlah yang banyak kerana beliau memegang tiga jawatan tertinggi di UMNO Pusat, Wilayah Persekutuan dan UMNO Bahagian.

“Tengku Adnan juga ada mengeluarkan wang pendahuluan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun 2016 sebagai perbelanjaan parti,” katanya dalam soal balas peguam bela Datuk Tan Hock Chuan.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Firdaous Mohamed Idris, bagaimana saksi ke-10 itu mengetahui berkenaan wang pendahuluan terbabit, Mohd Rahimi berkata;

“Selalunya apabila ada orang politik jumpa Tengku Adnan mereka akan nyatakan tujuan, kebiasaan mahu mohon sumbangan.

“Saya akan tanya dulu dengan Tengku Adnan dan sekiranya setuju, nama akan dimasukkan dalam senarai. Kadang-kadang Tengku Adnan maklumkan kepada saya beliau mahu advance (pendahuluan) untuk sumbangan. Itu saja yang saya maklum,” katanya.

Mohd Rahimi bagaimanapun tidak mengetahui sumber wang yang dijadikan pendahuluan itu.

Terdahulu, dalam penyataan saksi, Mohd Rahimi berkata permohonan jualan tanah di DBKL biasanya dibuat syarikat pemaju kepada menteri.

“Ada juga keadaan permohonan dibuat terus kepada Datuk Bandar dan jabatan berkaitan DBKL.

“Berhubung permohonan daripada syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd saya tidak pasti sama ada permohonan diserah sendiri kepada menteri atau pejabat menteri di DBKL,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Sementara itu pada sesi petang, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan DBKL, Datuk Zulkifli Ibrahim, dalam keterangannya berkata, walaupun ada catatan Tengku Adnan dalam beberapa surat antara Aset Kayamas dan DBKL termasuk pejabat menteri, ia mengikut prosedur ditetapkan.

Hock Chuan: Walaupun ada catatan menteri (Tengku Adnan) pejabat kamu tetap mengikut prosedur yang ditetapkan DBKL?

Zulkifli: Ya

Hock Chuan: Kamu setuju bahawa catatan menteri (Tengku Adnan) itu adalah cadangan sahaja?

Zulkifli: Betul

Hock Chuan: Catatan itu hanya cadangan untuk jabatan kamu mempertimbangkan sekiranya ia boleh dilaksanakan?

Zulkifli: Betul

Terdahulu dalam penyataan saksi, Zulkifli memberitahu, ada catatan Tengku Adnan iaitu ‘ Ybhg Dato Zul Sila teliti cadangan ini dan jika boleh dilaksanakan mengikut kaedah kongsi sama. Harap maklumbalas sila bincang dengan syarikat’.

Beliau mengesahkan surat itu adalah permohonan Aset Kayamas untuk membeli dua lot tanah bagi tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan rumah pegangan bebas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Berita Harian X