X
Rabu, 10 Julai 2019 | 11:26am
LORI bersama sebahagian 93 guni berisi benih kerang bernilai RM93,000 yang dirampas dari dua lelaki India dalam sekatan jalan raya di Jalan Batu Jong, Kuala Krai yang cuba diseludup ke Thailand. - Foto ihsan PDRM Kelantan
LORI bersama sebahagian 93 guni berisi benih kerang bernilai RM93,000 yang dirampas dari dua lelaki India dalam sekatan jalan raya di Jalan Batu Jong, Kuala Krai yang cuba diseludup ke Thailand. - Foto ihsan PDRM Kelantan

Cubaan seludup benih kerang RM93,000 ke Thailand

KUALA KRAI: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup 93 guni berisi benih kerang bernilai RM93,000 ke negara jiran gagal apabila lori yang dinaiki mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Batu Jong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 malam, suspek berusia 24 dan 25 tahun dipercayai cuba menyeludup benih kerang dari luar Kelantan untuk dibawa ke Thailand.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak, berkata, siasatan awal mendapati, suspek baru sahaja selesai menghantar bekalan ikan dari Teluk Intan ke Batu Pahat.

Katanya, apabila tiba di sekatan jalan raya itu, hasil pemeriksaan menemui beberapa guni berisi benih kerang yang diletakkan di bahagian belakang lori berkenan.

“Hasil siasatan mendapati, mereka menerima arahan daripada majikan untuk mengambil kesemua benih kerang untuk di bawa ke Gua Musang sebaik sahaja selesai menghantar bekalan ikan.

“Pada masa sama, kereta Toyota Vios yang dinaiki dua lelaki yang dipercayai menjadi pemandu arah kepada mereka dapat melepasi sekatan jalan raya dan meninggalkan suspek selepas lori yang dinaiki ditahan,” katanya.

Menurutnya, dua suspek itu diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kuala Krai bersama benih kerang yang dirampas.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kuala Krai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X