Rabu, 10 Julai 2019 | 5:25pm
Shaharuddin (kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Siri KET dan Keputusan Siri VDP di Pejabat JPJ di Alor Setar, hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

JPJ tunggu laporan PUSPAKOM kes murid maut

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih menunggu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung tragedi seorang murid lelaki maut selepas terjatuh menerusi lantai bas sekolah yang berlubang, Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata pemeriksaan JPJ mendapati cukai jalan bas berkenaan masih sah.

“Kita akan keluarkan cukai jalan kepada bas sekiranya mereka mendapat kelulusan daripada PUSPAKOM. Jika tak ada laporan berkenaan kita tidak akan keluarkan sewenang-wenangnya.

“Pihak JPJ sudah minta laporan mengenai keadaan bas dari PUSPAKOM, cuma tunggu mereka serahkan kepada kita, lagipun bukan kepada kita sahaja, PUSPAKOM perlu menjawab dengan pelbagai agensi termasuk polis,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Pelancaran Siri KET dan Keputusan Siri VDP di Pejabat JPJ di sini, hari ini.

Shaharuddin berkata, sehingga kini JPJ tidak boleh memberi sebarang komen mengenai kejadian itu berikutan ia di bawah siasatan polis.

Katanya, segala bentuk tindakan JPJ kelak akan merujuk kepada siasatan PUSPAKOM.

Khamis lalu, seorang murid lelaki maut selepas terjatuh dari bas sekolah sedang bergerak selepas terpijak lantai bas yang reput sehingga berlubang di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan.

Difahamkan, mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Berita Harian X