Khamis, 11 Julai 2019 | 2:25pm

Ibu tunggal mengaku tidak salah abai tiga anak

KUALA BERANG: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya di Mahkamah Majistret Kuala Berang, di sini, hari ini.

Tertuduh, Siti Minah Muhammad, 32, memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membiarkan tiga anaknya yang berusia enam, lapan dan 12 tahun tanpa pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 3 Julai lalu kira-kira jam 10 pagi di Perumahan Awam Kos Rendah, Padang Setengge, di sini.

Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga boleh diperintahkan melakukan khidmat masyarakat antara 35 jam hingga 240 jam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Assisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain, manakala tertuduh diwakili peguam Mastura Amirah Mohd Idris.

Terdahulu Mastura Amirah memohon mahkamah mengurangkan wang ikat jamin tertuduh dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu jualan dengan gaji RM45 sehari dan menjadi penanggung tunggal dalam keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 25 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga beradik berusia 12 tahun, lapan tahun dan enam tahun diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 3 Julai lalu dan dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu kandungnya.

Kanak-kanak terbabit disyaki ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan lebih daripada tiga hari.

SITI Minah Muhammad (tengah) mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya di Mahkamah Majistret Kuala Berang, hari ini. - Foto Rozainah Zakaria
Berita Harian X