Khamis, 11 Julai 2019 | 7:38pm
S VEERAPAN (dua, kiri) bersama Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan negeri, S. Mariappan (dua, kanan) melihat bahagian dapur sebuah premis menjual makanan ketika Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di daerah itu. - Foto BERNAMA

11 premis diarah tutup kerana kotor

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan sebanyak 11 premis di daerah ini ditutup selama dua minggu, bermula hari ini, selepas kebersihannya berada pada tahap tidak memuaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata dalam Ops Premis Bersih Daerah Seremban yang dijalankan bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang tadi, sebanyak 48 premis diperiksa.

Katanya, operasi itu memberi tumpuan kepada premis yang sering mendapat aduan daripada orang ramai selain pemantauan tahap kesihatan yang dijalankan pihaknya.

DUA petugas Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Daerah Seremban membuat pemeriksaan di bahagian dapur sebuah premis menjual makanan ketika Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di daerah itu. - Foto BERNAMA

“Sebanyak 90 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana pelbagai kesalahan, termasuk tidak mengikuti latihan pengendali makanan, gagal mendapatkan suntikan dan gagal memastikan penyimpanan makanan dengan sempurna.

“Kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak memakai pakaian pengendali makanan dengan sebanyak 50 notis dikeluarkan diikuti kesalahan tidak menjaga kebersihan diri pengendali makanan.

“Jumlah amaun yang dikompaun dalam operasi hari ini bernilai RM30,050,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 6,662 premis di negeri ini, diperiksa dan 109 diarah tutup kerana kotor manakala sebanyak 1,178 diberikan notis kerana pelbagai kesalahan dengan kompaun berjumlah RM220,200.

Katanya, sejak Januari sehingga Jun tahun ini pula, sebanyak 4,474 premis makanan diperiksa manakala 46 premis diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Sebanyak 1,022 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta sama kerana pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM290,100,” katanya.

Berita Harian X