Khamis, 11 Julai 2019 | 8:38pm
Ahsmon (tengah) menunjuk pistol tiruan dan pelbagai jenis dadah selepas serbuan di Kilometer 35 Jalan Kota Tinggi-Bandar Tenggara, Kota Tinggi. - Ihsan PDRM

Lelaki ditahan bersama dadah, pistol tiruan

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas didapati memiliki pistol tiruan dan sejumlah dadah dalam kejadian di Kilometer 35 Jalan Kota Tinggi - Bandar Tenggara, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata anggota kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Bandar Tenggara terserempak dengan suspek menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.15 pagi.

“Anggota bertugas kemudian mengarahkan suspek berhenti untuk pemeriksaan, namun lelaki itu terus memecut dalam usaha meloloskan diri. Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg mengandungi lima paket plastik lutsinar berisi heroin dan syabu seberat kira-kira 280 gram.

“Kita turut menemui sepucuk pistol tiruan dalam bakul motosikal suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahsmon berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM 13,200 dipercayai untuk dijual kepada penagih di kawasan berkenaan.

“Suspek yang turut didapati positif dadah direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Berita Harian X