Ahad, 14 Julai 2019 | 4:39pm
Anggota Forensik Bomba ketika menyiasat lokasi kediaman musnah yang mengorbankan Nur Salsabila bersama adiknya, Nur Ain Sumayyah dalam kebakaran di Kampung Endah. - NSTP/Sairien Nafis

Kebakaran berpunca litar pintas, tiada unsur jenayah - Polis

BANTING: Polis mengesahkan tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam insiden kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan dua beradik di Jalan Utama, Kampung Endah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.

“Siasatan awal Unit Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mendapati punca kebakaran disebabkan litar pintas.

“Siasatan Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kebakaran ini.

“Siasatan polis mendapati sebuah rumah kampung yang 100 peratus diperbuat daripada bahan kayu, hangus terbakar keseluruhan dalam tempoh tidak sampai sejam,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Azizan berkata, rumah itu didiami lima sekeluarga tetapi ketika kejadian, hanya dua mangsa berada di rumah.

“Abang mangsa berada di luar untuk makan. Ibu bapa mangsa pula berada di Pelabuhan Klang untuk membekalkan makanan kepada petugas bomba yang memadam kebakaran kilang,” katanya

Mengulas lanjut, Azizan berkata, berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa, Khamijas Ngainan, dua beradik itu dilihat berlari-lari di dalam rumah untuk menyelamatkan diri tetapi gagal.

Terdahulu, BH melaporkan dua beradik maut dalam kebakaran yang memusnahkan kediaman keluarga mereka di Kampung Endah, awal pagi tadi.

Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan Nur Ain Sumayyah, 13, dipercayai terperangkap dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi berkenaan.

Berita Harian X