Selasa, 16 Julai 2019 | 1:25pm

Selesai 16 kes samun, ragut selepas tahan dua lelaki

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan 16 kes samun dan ragut di negeri itu selepas menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di Seremban pada 4 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan, berkata tangkapan kedua-dua suspek berusia 41 dan 27 tahun itu adalah hasil daripada risikan dan siasatan lanjut polis susulan kejadian samun yang dilaporkan pada bulan lalu.

“Pada 27 Jun lalu, kami menerima laporan berhubung kejadian samun di Taman Bidara, Rahang, membabitkan seorang wanita berusia 67 tahun yang mendakwa dirinya diserang dua lelaki menggunakan batang besi sebelum beg tangan miliknya dilarikan.

“Ekoran insiden itu, siasatan telah dijalankan dan polis berjaya menahan seorang suspek di Taman Dusun Nyior di Rahang sebelum melakukan tangkapan kedua di sebuah rumah di Taman Gading, Seremban beberapa jam kemudian.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin. Mereka juga mempunyai sehingga 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes narkotik dan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada tangkapan itu, polis turut merampas dua motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan samun, empat paket plastik lutsinar dipercayai berisi dadah jenis heroin dan methamphetamine, wang tunai serta beberapa barangan lain.

“Siasatan mendapati, modus operandi suspek adalah melakukan kegiatan samun dan ragut pada awal pagi dan mensasarkan warga emas sebagai mangsa.

“Mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah itu di Negeri Sembilan sejak awal tahun ini yang menyebabkan kerugian sehingga RM50,410. Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan dibawa Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan kes pecah rumah dan cermin kereta di Seremban dan Port Dickson.

Wan Rukman berkata, tangkapan dibuat pada 9 Julai lalu apabila polis menahan suspek berusia 42 tahun itu yang sedang memandu sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di hadapan Pejabat Pos Pekan Rantau.

“Pemeriksaan terhadap kereta suspek, polis menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah masuk rumah serta empat paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

“Hasil daripada tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan cermin kereta di Seremban dan Port Dickson yang membabitkan kerugian lebih RM32,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Lelaki itu juga sebelum ini mempunyai 16 rekod jenayah,” katanya.

Suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Wan Rukman menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas dalam tangkapan di sebuah rumah di Taman Bidara, Rahang dalam kes samun dan mendatangkan kecederaan pada sidang media di IPK Negeri Sembilan. - NSTP/Adzlan Sidek
Berita Harian X