Selasa, 16 Julai 2019 | 1:30pm
Wan Rukman pada sidang media di IPK Negeri Sembilan, hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek

Suspek kes cabul disambung reman

SEREMBAN: Lelaki warga emas yang disyaki melakukan gangguan seksual dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam kereta, disambung reman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan, berkata siasatan berhubung kes itu hampir selesai dan polis dijangka menyerahkan kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Suspek disambung reman sehingga 22 Julai depan untuk siasatan lanjut.

“Semakan terhadap telefon bimbit mangsa mendapati tiada rakaman lain membabitkan perbuatan cabul sama ada terhadap mangsa atau kanak-kanak lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang warga emas selepas disyaki melakukan gangguan seksual dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun susulan tular video insiden itu melalui laman sosial Facebook.

Pemandu lori berusia 65 tahun itu ditahan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gopeng, Perakt, jam 9.20 malam pada 9 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Wan Rukman berkata, mangsa kini dilaporkan sudah keluar daripada hospital, bagaimanapun masih dalam pemantauan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.

Berita Harian X