X
Rabu, 17 Julai 2019 | 1:06pm
Saksi Ung Su Ling hadir prosiding perbicaraan kes dana SRC yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
Saksi Ung Su Ling hadir prosiding perbicaraan kes dana SRC yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Bekas CEO YR1M ceritakan bagaimana kenal Jho Low

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bagaimana beliau mula mengenali Jho Low atau Low Taek Jho ketika ahli perniagaan dalam buruan itu menuntut di Amerika Syarikat (AS).

Saksi ke-49 pendakwaan, Ung Su Ling, dalam keterangannya berkata perkenalan itu bermula di antara tahun 2000 dan 2001 di Malaysia dan ketika itu Jho Low sedang melanjutkan pelajaran di Wharton School, University of Pennsylvania.

Su Ling pula pada masa sama bekerja di sebuah syarikat pengurusan dana, Lotus Asset Management.

Peguam bela Harvinderjit Singh kemudian mencadangkan kepada saksi bahawa beliau pernah menguruskan wang Jho Low ketika lelaki itu berada di AS, bagaimanapun Su Ling menjawab “tidak benar.”

Saksi itu juga turut ditanya mengenai sama ada Lotus Asset Management pernah menguruskan wang Jho Low, yang dijawabnya, “tidak pernah.”

Sementara itu, Su Ling berkata beliau meminta maaf kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2015 selepas mengetahui wang RM42 juta yang beliau arahkan untuk dipindahkan ke dalam dua akaun, adalah akaun milik bekas perdana menteri.

“Saya tidak berapa pasti apa dia cakap, apa yang saya betul-betul pasti ialah dia beritahu ia sangat menjejaskan reputasi dan karier beliau.

“Beliau tidak mengetahui bagaimana duit itu boleh berada dalam akaunnya... Beliau sangat terganggu,” katanya.

Dalam perbicaraan semalam, Su Ling berkata, beliau dimaklumkan bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, untuk mengarahkan bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman memindahkan wang itu ke dalam akaun Najib.

Dalam pertemuan itu , Su Ling berkata beliau menawarkan untuk meletak jawatan daripada YR1M.

Sementara itu, Su Ling menafikan sekeras-kerasnya cadangan Harvinderjit bahawa beliau menerima arahan daripada Jho Low dalam proses pemindahan dana RM42 juta ke dalam akaun Najib daripada akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Su Ling yang terganggu dengan soalan bertalu-talu mengenai perkara itu berkata,” Saya hanya menerima arahan daripada Azlin.”

Harvinderjit turut mempersoalkan transkrip perbualan di antara Su Ling dan Pengurus Perhubungan Ambank, Joana Yu, melalui telefon Blackberry dan mencadangkan perkataan ‘kawan’ yang dimaksudkan dalam perbualan itu merujuk kepada Jho Low.

Harvinderjit: Terdapat beberapa kali perkataan ‘kawan kita’ dalam log perbualan kamu. Adakah Joanna Yu merujuk ‘kawan’ itu adalah Azlin?

Su Ling: Saya tidak tahu.

Harvinderjit: Saya cadangkan perkataan ‘kawan’ dalam log perbualan kamu dengan Joanna pada 2015 merujuk kepada Jho Low?

Su Ling: Tidak semestinya.

Harvinderjit: Maksud kamu?

Su Ling: Saya tidak pasti untuk Joanna ‘kawan kita’ itu merujuk siapa. Untuk saya mungkin ia berbeza.

Dirujuk dengan satu perbualan yang dicadangkan peguam bahawa Jho Low beritahu apa yang perlu dilakukan dengan kertas Lembaga Pemegang Amanah, saksi menjawab, “Jho Low boleh kata apa saja tapi akhirnya ia adalah keputusan Lembaga Pemegang Amanah.”

Su Ling yang kelihatan jenuh melayan soalan serta cadangan Harvinderjit kemudiannya lebih banyak menjawab dengan bersahaja “Saya tidak setuju laaa.”

Apabila Hanviderjit kerap kali mencadangkan bahawa proses pemindahan dana RM42 juta ke dalam akaun Najib dibuat dengan terburu-buru, saksi akhirnya menjawab, “Ia bukan jenis terdesak seperti yang kamu katakan.

“Kalau bos suruh kamu buat, kamu buatkan? ... Sama juga dalam hal ini apabila dapat arahan Lembaga Pemegang Amanah YR1M atau Najib, jadi saya kena buat terus, kalau tidak saya akan kena.”

Apabila didesak lagi dengan soalan berhubung arahan Jho Low, Su Ling berkata, “How (macam mana) laaaa ... Kadang-kadang ia dibuat luar konteks atau kamu salah tafsir sendiri.”

Pada satu peringkat, Hanviderjit seolah-olah mengingatkan saksi supaya tidak memandang kepada Timbalan Pendakwa Raya ketika memberikan keterangan, yang membangkitkan kemarahan Sithambaram.

Sithambaram bangun membantah dan mengingatkan kepada peguam bela supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang membayangkan bahawa pendakwaan memberikan tunjuk ajar kepada saksi.

Berita Harian X