X
Rabu, 17 Julai 2019 | 2:33pm
PEGUAM kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz Ramesh Sivakumar ketika sidang media selepas hadir pada permohonan semak jenayah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima lagi yang direman bagi membantu siasatan dalam kes video songsang individu mirip seorang menteri kanan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
PEGUAM kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz Ramesh Sivakumar ketika sidang media selepas hadir pada permohonan semak jenayah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima lagi yang direman bagi membantu siasatan dalam kes video songsang individu mirip seorang menteri kanan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Perintah reman enam hari Haziq Abdullah kekal

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan perintah reman enam hari yang dikenakan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bagi siasatan berhubung video lucah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beliau bagaimanapun memutuskan untuk meminda perintah reman enam hari kepada empat hari terhadap lima individu yang ditahan bersama Haziq Abdullah.

“Mahkamah berpendapat Majistret terkhilaf memberi perintah reman secara sama rata terhadap semua individu itu.

“Mustahil semua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan sedangkan hanya Haziq yang disiasat mengikut seksyen itu,” katanya.

Oleh itu, lima suspek itu akan dibebaskan esok.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Abdul Razak, berkata isu diari siasatan (ID) tidak dikemukakan bukan masalah kerana ia sudah dimasukkan dalam sistem talian.

“Permohonan ID masih dalam peringkat siasatan dan masih terlalu awal untuk mengasingkan tuduhan secara individu,” katanya.

Lima suspek kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan direman selama empat hari.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi hukuman memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seksyen 292 Kanun Keseksaan pula menyebar bahan lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, peguam S Ramesh yang mewakili lima suspek kes itu, termasuk Haziq berkata terdapat kekeliruan mengenai reman mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman itu sepatutnya dibuat secara individu memandangkan mereka disiasat mengikut seksyen berasingan,” katanya.

Sementara itu, R Sirahnanthan berkata diari siasatan juga tidak dikemukakan kepada mahkamah ketika prosiding.

“Majistret tidak mengemukakan sembilan alasan dalam diari siasatan sebaliknya hanya enam yang diberikan.

“Antara alasan diberikan termasuk kesan rakan jenayah, maklumat orang awam; gambar tempat kejadian; rakaman percakapan; kawad cam dan cap jari,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X