Rabu, 17 Julai 2019 | 6:04pm
Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tutup atau teruskan inkues Adib diputuskan Rabu depan

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner menetapkan Rabu depan bagi memutuskan sama ada prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditutup atau diteruskan.

Koroner Rofiah Mohamad, berkata sekiranya prosiding inkues berkenaan disambung, pihaknya akan memanggil seorang pakar patologi yang lain bagi membantu pihak mahkamah.

Pada 4 Julai lalu, Pegawai Pengendali prosiding inkues kematian Muhammad Adib, Faten Hadni Khairuddin, mencadangkan seorang lagi pakar patologi berikutan adanya dapatan berbeza dari dua pakar.

Sehingga hari ini, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan prosiding berjalan selama 41 hari.

Dalam prosiding hari ini juga, Rofiah menetapkan tarikh sama untuk keputusan permohonan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas, berhubung punca kematian anaknya, yang difailkan semalam.

Rofiah berkata pihaknya memerlukan masa untuk menyemak perkara itu selain permohonan terbabit masih diproses.

Semalam, Mohd Kassim, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Peguam Negara membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Melalui afidavit berkenaan, Tommy mengeluarkan kenyataan pada perenggan kelima dan keenam bahawa kecederaan Muhammad Adib berpunca akibat dipukul dan bukan dilanggar.

Berikutan itu, tindakan Tommy didakwa mendahului keputusan mahkamah sedangkan kes masih berjalan.

Muhammad Adib, 24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Berita Harian X