Khamis, 18 Julai 2019 | 4:31pm
KIRA-KIRA 3,191 karton rokok seludup dengan nilai lebih RM301,245 dirampas Pasukan Polis Marin di dua lokasi berasingan di Rompin, semalam. - Foto ihsan Pasukan Polis Marin
KIRA-KIRA 3,191 karton rokok seludup dengan nilai lebih RM301,245 dirampas Pasukan Polis Marin di dua lokasi berasingan di Rompin, semalam. - Foto ihsan Pasukan Polis Marin

Lebih 3,000 karton rokok seludup dirampas

ROMPIN: Kira-kira 3,191 karton rokok seludup dengan nilai lebih RM301,245 dirampas Pasukan Polis Marin di dua lokasi berasingan di daerah ini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, berkata serbuan pertama merampas 251 karton rokok pelbagai jenama di sebuah rumah milik seorang lelaki berusia 64 tahun di Kampung Janglau, Kuala Rompin, kira-kira jam 5 petang.

“Pemeriksaan di rumah terbabit menemui beberapa kotak berwarna coklat dan plastik merah berisi rokok dipercayai rokok tidak bercukai.

“Semua rokok dirampas dan pemilik rumah berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norzaid berkata, serbuan kedua empat jam kemudian yang dilakukan di sebuah bangunan terbengkalai di kawasan muara sungai di Kampung Tanjung Gemok, Kuala Rompin, pula menemui 2,940 karton rokok.

“Ketika anggota tiba di kawasan muara sungai dalam keadaan gelap, kelihatan sebuah van warna putih dan beberapa orang sedang memunggah sesuatu ke dalam kenderaan itu.

“Menyedari kehadiran polis, kesemua mereka melarikan diri dengan menaiki van itu. Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami menemui kira-kira 2,940 karton rokok jenama International REXO,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan dibawa ke Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X