Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:21am
Polis Daerah Dungun menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan penemuan dua harimau yang dilaporkan berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, sejak pagi semalam.

Di sini bukan pesta untuk lihat harimau - Polis

DUNGUN: Polis Daerah Dungun menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan penemuan dua harimau yang dilaporkan berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, sejak pagi semalam.

“Jangan anggap ini pesta, biarpun harimau itu kelihatan jinak namun kita bimbang sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku,” kata Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah.

Katanya, pihaknya menerima laporan terdapat seorang penduduk daripada luar pergi kawasan kampung untuk melihat harimau.

“Ketika berada di kawasan kampung itu, tiba-tiba muncul harimau dekat dengannya yang menyebabkan dia terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

“Nasib baik harimau itu tidak berbuat sesuatu terhadapnya sebelum harimau itu berlalu pergi.

“Biarpun haiwan itu tidak liar atau pun bertindak ganas, namun kami bimbang sekiranya haiwan itu bertukar menjadi agresif,” katanya.

Baharudin berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota dari Balai Polis Bukit Besi untuk mengawal keadaan di kawasan itu.

Katanya, anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga sedang berusaha menangkap haiwan terbabit.

“Jadi, saya minta kerjasama semua untuk menjauhi kawasan terbabit dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas menangkap haiwan terbabit.

“Penduduk juga perlu berwaspada ketika melalui kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi harimau itu berkeliaran.

“Penduduk diminta tidak keluar pada waktu malam memandangkan kawasan di situ yang dipenuhi hutan dan semak samun serta gelap,” katanya.

Berita Harian X