Ahad, 21 Julai 2019 | 3:28pm

Tangga runtuh, renjatan elektrik ragut 4 nyawa

SUNGAI BULOH: Empat termasuk suami isteri maut terkena renjatan elektrik selepas tangga separa siap di rumah sewa mereka runtuh di Kampung Matang Pagar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian berlaku jam 12.50 tengah hari itu, pasangan itu, Shahril Apipie Mokhtar dan Wan Hasheliza Wan Ibrahim yang sarat mengandung, masing-masing berusia 29 tahun, maut di lokasi kejadian.

Jiran mereka, Mohd Radezi Abdul Aziz, 35, dan warga Indonesia, Bambang Sulistio, 39, turut maut.

Difahamkan ketika kejadian, Wan Hasheliza sedang makan durian di bawah tangga separa siap itu sebelum binaan itu runtuh dan menyebabkan tangannya tersepit.


Difahamkan ketika kejadian, Wan Hasheliza sedang makan durian di bawah tangga separa siap itu sebelum binaan itu runtuh dan menyebabkan tangannya tersepit. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Shahril Apipie yang berada di dalam rumah mendengar jeritan mangsa cuba mengeluarkan isterinya daripada runtuhan.

Bagaimanapun mereka kemudian dikatakan terkena renjatan daripada arus elektrik selepas wayar kabel berdekatan tangga terbabit putus.


Tangga dalam pembinaan di sebuah rumah dua tingkat runtuh dan menghempap empat orang mangsa. - Ihsan Bomba

Tangga dalam pembinaan di sebuah rumah dua tingkat runtuh dan menghempap empat orang mangsa. - Ihsan Bomba

Insiden itu menyebabkan Mohd Radezi dan Bambang Sulistio cuba membantu namun malangnya mereka turut terkena renjatan elektrik.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Razali Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Tiba di lokasi, pasukan penyelamat terpaksa menunggu Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik sebelum kerja menyelamat mangsa dilakukan.

“Tempat kejadian adalah sebuah rumah dua tingkat dengan tingkat atas dalam keadaan separa siap, rumah menempatkan tiga bilik yang disewa tiga keluarga.

“Bomba mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan semua mangsa, mangsa pasangan suami isteri itu didapati dalam keadaan berpelukan dipercayai kerana suami cuba menyelamatkan isterinya dari bawah runtuhan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Razali berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Razali (kiri) melihat keadaan tangga runtuh yang mengorbankan empat orang di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Keadaan tangga runtuh yang mengorbankan empat orang mati di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Keadaan tangga runtuh yang mengorbankan empat orang mati di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X