Isnin, 22 Julai 2019 | 1:25pm
Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh, pada sidang media bersama penduduk TTDI berhubung laporan terhadap Datuk seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai kepentingan didalam projek pembangunan Taman Rimba Kiara kepada SPRM di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Taman Rimba Kiara: Yeoh mahu jumpa Latheefa

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, akan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perkembangan siasatan berhubung pembangunan Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau mahu mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dalam masa terdekat.

Katanya, penduduk setempat berhak mengetahui hasil siasatan terhadap laporan dibuat Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mendakwa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, memiliki kepentingan atas projek berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) konsisten menentang sebarang bentuk cubaan penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik.

“Saya sudah membuat laporan SPRM pada 17 Jun lalu, manakala C4 juga ada membuat laporan sebelum ini.

“Saya sebagai Ahli Parlimen di kawasan terbabit dan penduduk setempat mahu mendapatkan perkembangan baharu kes itu.

“Setahu saya, isu ini belum dibincangkan pada peringkat Kabinet. Ia membabitkan beberapa kementerian, justeru saya berpendapat mereka memerlukan masa untuk mendapatkan input berkaitan.

“Jabatan Peguam Negara juga wajar diberi ruang untuk membuat penelitian dari segi perundangan,” katanya pada sidang media di hadapan pusat komuniti di TTDI, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yeoh turut mencadangkan dua penyelesaian, iaitu pembatalan dan membayar pampasan, atau meneruskan projek tetapi dalam lingkungan penduduk rumah panjang Bukit Kiara.

“Jika kerajaan kata tidak mampu membayar pampasan, kita mahu situasi menang-menang.

“Cadangan berkenaan mendapat sokongan tujuh Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masyarakat setempat,” katanya.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu.

Kontroversi tercetus apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang membabitkan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Media sebelum ini melaporkan penduduk mendakwa projek berkenaan akan mengambil separuh daripada keluasan tapak taman awam itu dan memusnahkan kawasan paling padat dengan pokok yang menjadi habitat kepada hampir 40 jenis burung tempatan serta migrasi.

Malah, komuniti rumah panjang yang menetap bersebelahan taman itu dilaporkan turut mendesak supaya mereka tidak dijadikan ‘kambing hitam’ dalam rancangan projek berkenaan, selain menuntut rumah mereka dibina di atas tapak asal tanpa memusnahkan taman awam terbabit.

Taman awam seluas hampir 11 hektar itu menjadi kawasan utama bagi penduduk sekitar beriadah dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Berita Harian X