Selasa, 23 Julai 2019 | 5:05pm
Dadah yang berjaya dirampas polis dalam serbuan di Miri dan Sibu. - NSTP/Erika George
Polis berjaya merampas dadah dalam satu serbuan di Miri dan Sibu. - NSTP/Erika George
Polis berjaya merampas dadah dalam satu serbuan di Miri dan Sibu. - NSTP/Erika George

5 suspek dadah diberkas

MIRI: Lima penganggur termasuk seorang wanita ditahan polis dalam serbuan berasingan di Miri dan Sibu hujung minggu lalu kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif, berkata dadah seberat 173.18 gram dengan anggaran nilai RM20, 425 turut dirampas dalam serbuan pada Khamis dan Jumaat lalu itu.

“Dalam serbuan di tempat letak kenderaan Waterfront Commercial Centre, Miri kira-kira jam 8.30 malam Khamis lalu, polis menahan seorang lelaki berumur 35 tahun kerana memiliki dadah jenis Nimetazepam dan ketamine seberat 104.35 gram yang dianggarkan bernilai RM10,100.

“Dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tuanku Osman di Sibu pada jam 5.52 petang Jumaat pula, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 26 hingga 50 tahun.

“Suspek pertama ditahan di tangga premis itu dan polis menemui 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.42 gram pada beg suspek,” katanya.

Susulan itu, kata Sahar, tiga lagi suspek termasuk seorang wanita ditahan di rumah sewa di tingkat dua premis berkenaan dan polis menemui 19 paket lutsinar dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 62 gram, yang diletakkan atas meja.

Pemeriksaan lanjut terhadap salah seorang suspek turut menemui satu paket lutsinar dadah jenis syabu seberat 1.41 gram pada poket sebelah kanan seluar jean yang dipakainya.

Kata Sahar, ujian saringan air kencing terhadap empat suspek mengesahkan semua mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika bersabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Berita Harian X