Selasa, 23 Julai 2019 | 7:18pm

Duda mengaku bersalah berkhalwat didenda RM2,800

MARANG: Seorang duda didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, kerana berkhalwat dengan janda beranak lima yang baru dua minggu dikenalinya.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu berkhalwat.

Tertuduh berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pembantu kantin turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pada 16 Julai lalu, mahkamah sama mengarahkan pasangannya yang berusia 36 tahun, ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor, selama enam bulan.

Mengikut fakta kes, serbuan berwaran dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah di sebuah chalet pada jam 4.30 pagi 4 Mac lalu.

Setiba di chalet itu, pintu utamanya didapati tertutup rapat dan berkunci sebelum anggota mengetuk serta memberi salam beberapa kali.

Tertuduh lelaki membuka pintu dari dalam dan anggota memperkenalkan diri lalu membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menemui tertuduh wanita sedang bersembunyi di dalam bilik air dan soal siasat mengesahkan mereka bukan pasangan suami isteri.

Berita Harian X