Selasa, 23 Julai 2019 | 8:34pm
Omar (kanan) memeriksa bungkusan makanan ringan di sebuah gudang memproses dan membungkus makanan di Bukit Pinang bagi mengesan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke' yang tular di laman sosial. - NSTP/Shahrizal Md Noor
Omar (kanan) memeriksa bungkusan makanan ringan di sebuah gudang memproses dan membungkus makanan di Bukit Pinang bagi mengesan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke' yang tular di laman sosial. - NSTP/Shahrizal Md Noor

KPDNHEP periksa gula-gula 'Ghost Smoke' di Kedah

ALOR SETAR: Sebuah gudang membungkus makanan ringan di Bukit Pinang di sini, hari ini diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana disyaki mengedar gula-gula ‘Ghost Smoke’.

Dalam pemeriksaan mengejut jam 1.45 tengah hari tadi, anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan ke setiap kotak barangan makanan ringan yang sudah dibungkus, namun tidak menemui bungkusan gula-gula berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Omar Ismail, berkata pemeriksaan dilakukan serentak di setiap negeri berikutan maklumat yang diperoleh berhubung produk makanan ringan itu yang menjadi kegemaran kanak-kanak ketika ini.

Katanya, pemilik gudang berkenaan mengakui pernah mengimport gula-gula berkenaan dari China, namun sudah tidak membawa produk itu masuk ke Malaysia sejak beberapa bulan lalu.

“Kami difahamkan gudang ini memasarkan produk makanan ringan dan mainan yang dibungkus semula ke Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini pemilik gudang itu mengaku pernah menjadi pemborong dan mengedar gula-gula itu sejak dua bulan lalu, namun sudah memberhentikannya kerana persaingan harga,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Produk makanan ringan serbuk Ghost Smoke kini popular dalam kalangan kanak-kanak dengan ia akan mengeluarkan asap ketika ditiup selain didapati mengandungi pewarna berlebihan.

Berita Harian X