Rabu, 24 Julai 2019 | 1:03am

SKMM siasat penyalahgunaan nama PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan kes penyalahgunaan nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perbuatan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

SKMM dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan itu akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti dalang dan sumber yang mengeluarkan e-mel itu.

“SKMM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, kewujudan dan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Justeru, orang ramai turut diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung isu itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil SKMM.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan kelmarin, memaklumkan terdapat dua insiden pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Perdana Menteri menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin. - BERNAMA

Berita Harian X