Rabu, 24 Julai 2019 | 12:20pm
PEGUAM, Mohamed Haniff Khatri (tengah) ditemui media ketika hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

9 Ogos selesaikan permohonan komital

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner Shah Alam menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh untuk menyelesaikan dua isu berbangkit membabitkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Dua isu yang perlu diselesaikan membabitkan sama ada Peguam Negara boleh memberi pandangan atau hujahan terhadap ex-parte serta setakat mana, dan boleh atau tidak dua afidavit oleh Peguam Negara dan pegawai pengendali terdahulu yang difailkan sebelum ini diterima dan dilayan.

Koroner Rofiah Mohamad ketika menetapkan tarikh itu berkata, mahkamah juga akan mengabaikan hujahan yang difailkan hujahan yang difailkan Peguam Kanan Persekutuan pagi tadi berhubung permohonan ex-parte itu.

Beliau juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan pada 5 Ogos nanti.

Terdahulu peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memaklumkan kepada mahkamah dua isu timbul membabitkan permohonan perintah komital itu.

Beliau berkata, sebelum prosiding permohonan itu bermula, mahkamah perlu menyelesaikan kedua-dua isu itu.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Peguam Negara sudah memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan perintah komital itu.

Turut mewakili keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, ialah peguam Abdul Rahim Sinwan.

Pejabat Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy dan Mankiranjit Kaur Mehinder Singh.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Berita Harian X