Rabu, 24 Julai 2019 | 12:36pm

5 pegawai JPJ, 1 bekas anggota SPAD didakwa rasuah

BUTTERWORTH: Enam penjawat awam, termasuk lima penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600, antara 2015 hingga 2018.

Dalam prosiding sama, seorang bekas penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara turut dituduh dengan semua mereka dikatakan menerima ganjaran daripada pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di Pulau Pinang.

Semua tertuduh yang turut berdepan 63 pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang itu ialah Pemeriksa Kereta Motor Gred 29, Ahmad Tajuddin Husin, 35; Pembantu Penguat kuasa Gred 19, Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41; dan Pembantu Penguat kuasa Gred 19, Najib Mohamad Tarmizi, 32.

Lima Anggota Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Turut didakwa, Pembantu Penguat kuasa Gred 19, Hasrol Sani Abu Bakar, 39; Pemeriksa Kereta Motor Gred 19, Muhammad Airil Teo Abdullah, 31; dan Ketua Pembantu Penguat kuasa SPAD, Ahmad Alamin Don, 33.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Tajuddin berdepan dua pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM800, manakala Ahmad Daniel (36 pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM51,050); dan Najib (empat pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,000).

Sementara itu, Hasrol Sani turut berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai suapan RM9,100; Muhammad Airil (12 pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM6,900), dan Ahmad Alamin (empat pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM1,700).

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga bank di Bukit Mertajam di sini, antara Mac 2015 sehingga Jun 2018.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya (dua dari kanan) ketika hadir untuk mendengar pertuduhan les rasuah keatas lima anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperolehi untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Cheng Keat bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh, kecuali Ahmad Alamin, diwakili peguam Datuk Naren Singh, manakala Ahmad Alamin yang kini berkhidmat sebagai anggota JPJ Perlis, tidak diwakili peguam.

Nizam kemudiannya menetapkan jaminan antara RM5,000 hingga RM25,000 kepada semua tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini dan akan disebut semula pada 12 September hadapan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya turut hadir mendengar pertuduhan berperingkat terhadap 6 daripada 18 anggota penguat kuasa terbabit, hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 9 pagi bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Semalam, Latheefa dalam sidang akhbarnya memaklumkan 18 lagi pegawai penguat kuasa akan didakwa secara berperingkat selama tiga hari, bermula hari ini.

Lima Anggota Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X