Rabu, 24 Julai 2019 | 12:39pm

Inkues Adib ditutup, tiada saksi lain dipanggil

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini menutup prosiding inkues punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, selepas ia berjalan selama 41 hari.

Keputusan dibuat Koroner Rofiah Mohamad itu sekali gus menolak permohonan Pegawai Pengendali kes, Faten Hadni Khairuddin yang mencadangkan supaya seorang lagi saksi patologi dipanggil.

Dalam keputusannya itu, Rofiah berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada.

“Selepas meneliti keterangan yang ada, mahkamah tidak akan memanggil saksi lain,” katanya.

Bagaimanapun, dalam keputusannya itu, Rofiah belum menetapkan sebarang tarikh untuk keputusan inkues berkenaan.

Ketika membaca keputusan terbabit, Rofiah turut menjemput pihak berkepentingan untuk mengemukakan hujahan bertulis.

Beliau berkata, hujahan itu perlu dikemukakan kepada pihak mahkamah sebelum atau pada 21 Ogos depan.

Setakat ini, hanya pihak keluarga Muhammad Adib bercadang mengemukakan hujahan bertulis itu.

Pada 4 Julai lalu, Faten Hadni mencadangkan seorang lagi pakar patologi dipanggil berikutan wujud dapatan berbeza daripada dua pakar.

Saksi ke-24, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, memberikan dapatan bahawa Muhammad Adib keluar sendiri dari van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum terlanggar pintu van lalu terhentak di permukaan yang kasar, luas dan menonjol.

Saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, pula memberikan dapatan bahawa mangsa ditarik keluar dari van EMRS dan dihentak menggunakan pintu van oleh beberapa penyerang sehingga mendapat kecederaan.

Prosiding inkues punca kematian Muhammad Adib berjalan selama 41 hari bermula 11 Februari lalu.

Sepanjang prosiding, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar, dipanggil dengan 137 ekshibit dikemukakan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri (tengah) ditemui media ketika hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X