Rabu, 24 Julai 2019 | 3:30pm
ANTARA peralatan judi dirampas dalam satu serbuan di kawasan terbuka di ladang sawit, Jalan Makasing, Medamit, Limbang. NSTP/Norsyazwani Nasri.

Leka sabung ayam sampai tidak sedar diserbu polis

LIMBANG: Leka melihat ayam sabung masing-masing `beraksi’ sehingga tidak sedar gelanggang pertaruhan mereka diserbu polis.

Itu yang berlaku di sebuah ladang sawit di Jalan Makasing, Mendamit, di sini petang semalam, apabila tiga lelaki, termasuk seorang warga emas ditahan ketika sedang asyik bersabung ayam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.05 petang itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 75 tahun itu hanya mampu tergamam melihat kehadiran pegawai dan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, selain tiga suspek, pihaknya turut menemui 24 ayam sabung yang masih hidup, manakala seekor lagi sudah mati.

“Turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam pertaruhan itu, termasuk taji atau lawi ayam.

“Selain menjadi lokasi menyabung ayam, pemeriksaan lanjut turut mendapati khemah didirikan di kawasan itu sebagai tempat kegiatan judi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan 1962.

Berita Harian X