Rabu, 24 Julai 2019 | 4:40pm
GULA-GULA 'Ghost Smoke Cool Fruit Powder'.

240 paket gula-gula Ghost Smoke dirampas

SITIAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung merampas lapan kotak mengandungi 240 paket gula-gula Ghost Smoke di sebuah premis di Jalan Raja Omar, Sitiawan, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Manjung, Akram Karim Mohamad Arip, berkata dalam operasi pada jam 10.30 pagi itu, pihaknya memeriksa beberapa kedai runcit dan borong yang sedang beroperasi sekitar Sitiawan.

Katanya, pihaknya mendapati sebuah premis menjual gula-gula berkenaan secara runcit dan pemeriksaan lanjut menemui lapan kotak mengandungi gula-gula Ghost Smoke.

“Kita menemui lapan kotak mengandungi 240 paket gula-gula Ghost Smoke yang disimpan dalam premis berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM76.

“Gula-gula berkenaan dipercayai untuk pasaran Sitiawan saja, bagaimanapun KPDNHEP Manjung akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembekalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akram Karim berkata gula-gula Ghost Smoke itu dirampas dan disimpan di bilik penyimpanan eksibit KPDNHEP Manjung untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(1) Akta Perihal Dagangan 2011, Larangan perihal dagangan palsu.

“KPDNHEP memandang serius perbuatan peniaga yang menjual gula-gula Ghost Smoke dalam kalangan pelajar yang viral baru-baru ini.

“Ia boleh mendedahkan mereka kepada gejala negatif memandangkan gula-gula berkenaan berfungsi seakan-akan rokok,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Berita Harian X