Rabu, 24 Julai 2019 | 8:42pm
Gambar hiasan.

Tergamak rogol jiran OKU

SERIAN: Kelahiran seorang bayi membongkar perbuatan jijik seorang remaja terhadap wanita orang kurang upaya (OKU) yang bermasalah pembelajaran di Kampung Jenan, di sini.

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis semalam selepas anak perempuannya yang berusia 24 tahun selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, suspek berusia 17 tahun adalah jiran mangsa dan dipercayai bertindak merogolnya ketika ketiadaan ibu mangsa di rumah.

“Suspek masih dikesan dan dipercayai sudah melarikan diri ketika laporan dibuat. Mangsa pula masih dirawat di HUS,” katanya sambil memberitahu kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X