X
Khamis, 25 Julai 2019 | 4:32pm
Anggota penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di premis seluruh Sarawak bagi mengesan penjualan gula-gula Ghost Smoke. - NSTP/Melvin Joni
Anggota penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di premis seluruh Sarawak bagi mengesan penjualan gula-gula Ghost Smoke. - NSTP/Melvin Joni

KPDNHEP Sarawak rampas 14 kotak gula-gula 'Ghost Smoke'

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak merampas 14 kotak gula-gula ‘Ghost Smoke’ di sebuah premis dekat Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechik, berkata walaupun nilai rampasan kecil, iaitu RM110, gula-gula berkenaan dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan pengguna jika dimakan.

“Gula-gula itu juga boleh mendorong kanak-kanak terpengaruh dengan tabiat merokok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan pelbagai pihak, terutama ibu bapa, berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Mohd Hanizam berkata, setakat ini, sebanyak 60 premis perniagaan di seluruh Sarawak sudahpun diperiksa bagi mengesan penjualan gula-gula terbabit.

Beliau sekali gus menasihati semua peniaga supaya tidak menjual gula-gula itu bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tegas.

Susulan rampasan itu, kes akan disiasat bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 bawah akta sama.

Tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bawah Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000.

Berita Harian X