Khamis, 25 Julai 2019 | 9:29pm
Mohd Hanizam (empat dari kiri) menunjukkan gula-gula 'Ghost Smoke' yang dirampas dalam serbuan di SMI Industrial Park Demak Laut, Kuching. - NSTP/Melvin Joni

KPDNHEP Sarawak rampas gula-gula 'Ghost Smoke'

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak merampas 792 peket gula-gula ‘Ghost Smoke’ dalam serbuan di sebuah premis di SMI Industrial Park Demak Laut, hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechik, berkata premis terbabit dipercayai pemborong terbesar gula-gula itu di negeri ini.

Beliau berkata, gula-gula ‘Ghost Smoke’ dirampas dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dianggarkan bernilai RM340.

“Siasatan awal mendapati bekalan produk itu berada di Sarawak sejak April lalu dan dipercayai diperoleh dari Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP Sarawak, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan pelbagai pihak, terutama ibu bapa, berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Mohd Hanizam berkata, rampasan itu adalah yang kedua selepas pihaknya merampas 14 kotak gula-gula berkenaan di sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, semalam.

“Setakat ini, 1,128 peket gula-gula itu dirampas dan 110 premis sudah diperiksa di seluruh Sarawak sejak operasi dijalankan tiga hari lalu.

“KPDNHEP Sarawak akan terus melakukan operasi dan pemantauan bagi memastikan tiada gula-gula itu dijual di Sarawak, termasuk mempertingkat pemeriksaan dengan menumpukan premis di sekitar sekolah.

“Kami juga ada pasukan risikan memantau melalui pelbagai platform, termasuk media sosial, bagi mengesan penjualan gula-gula berkenaan,” katanya sambil memaklumkan gula-gula itu dijual antara 50 hingga 70 sen sepeket.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual atau menyimpan gula-gula berkenaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan, termasuk mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Berita Harian X